Al-Baqarah (2) : 93
وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ خُذُوا مَا آتَيْنَاكُمْ بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُوا قَالُوا سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَأُشْرِبُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْعِجْلَ بِكُفْرِهِمْ قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُمْ بِهِ إِيمَانُكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): "Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)". Mereka menjawab: "Kami dengar, dan kami menderhaka". Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):" Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman".
TAFSIR 1
Ayat ini merupakan penegasan atas penjelasan sebelumnya tentang tindakan kaum Yahudi yang sering mengingkari janji. Allah swt pernah mengambil janji mereka yang diingkarikan di Gunung Thur untuk menaati semua syariat-Nya. Namun sebagaimana disebutkan dalam ayat sebelumnya, mereka memang mendengarkan firman Allah swt tetapi enggan mentaatinya.
Rujukan: 1999: 64 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Menurut At-Tabari makna ayat ini adalah ?Ingatlah ketika Kami mengambil janji kamu sekalian di bawah Gunung Thursina iaitu kamu sekalian akan mentaati perjanjian tersebut, mendengarkan perintah Allah dan mematuhi semua isinya. Namun, Bani lsrail tidak mematuhi semua isi perjanjian itu, mereka melanggar dan mengingkarinya, yang demikian itu disebabkan mereka lebih mencintai patung anak sapi itu dan kecintaan itu telah meresap ke dalam hati mereka. Ada beberapa penjelasan mengenai hal ini. Qatadah berpendapat tentang maksud firman Allah (Wa'usyribu fii qulubihim) ialah diresapkan ke dalam hati mereka kecintaan sehingga hati mereka merasa tulus menyembah patung anak-anak sapi itu. Adapun menurut riwayat Ar-Rabi adalah diresapkan ke dalam hati mereka cinta kepada patung anak sapi kerana kekufuran mereka. Ada juga yang berpendapat bahawa penyebabnya adalah kerana memang mereka telah meminum air yang diteteskan dari sela-sela kulit anak patung sapi sehingga meresap pada mereka rasa senang untuk tetap menyembah patung anak sapi tersebut, lalu mereka mewariskan perbuatan bodoh tersebut kepada generasi selanjutnya. Demikian yang diriwayatkan oleh Ibnu Juraij. Adapun At-Tabari berpendapat bahawa yang dimaksudkan firman Allah tersebut ialah telah diserapkan ke dalam hati mereka itu kecintaan akan penyembahan berhala bukan hanya kerana mereka telah meminum air yang menetes dari patung tersebut.
Rujukan: 2001: 262-267 (Tafsir al-Tabari)